Thursday, April 19, 2012

Bakal Suami ‘Penipu Besar’

Assalamualaikum…Saya akan melansungkan hari pernikahan dengan seorang jejaka yang satu tempat kerja dengan saya. Masalahnya ialah jejaka yang pada mulanya saya kenal seorang yang baik, rajin saya lihat pergi ke surau, bercakap dengan penuh sopan santun dan berbudi bahasa, tak cakap benda-benda mengarut walaupun kami bekerja dalam invironment yang pekerjanya suka cakap mengarut-ngarut dan lucah maklumlah hotel line. Saya mula jatuh hati dengan sidia ni setelah kami dilaga-lagakan oleh kawan sedepartment. Cinta pun berputik. Selang sebulan, saya dapat call kecemasan ayah saya sakit tenat. Dia pun ambil kesempatan ini untuk ikut saya balik ke kampung berjumpa kedua orang tua saya. Ayah saya memang tenat, tapi saya tak boleh cuti lama maklum sajalah company cina. Mereka ni tak faham. Saya dan si dia balik ke KL dan meneruskan kerja seperti biasa, tapi sampai saja di hotel kawan-kawan terus mencemuh saya kenapa saya kerja saya sepatutnya ada disisi orang tua saya yang sakit mereka memerlukan saya, mereka menyalahkan teman lelaki saya. Mereka marah saya yelah sebab dia saya balik KL tak tunggu menemani ayah saya.

Di masa berada di KL berkerja, saya di datangi kawan saya menyuruh saya call rumah kampung halamannya dan bertanyakan tentang hal teman lelaki yang bagi semua mata di tempat kerja saya dia ni lelaki baik. Saya pun ambil cabaran tu saya pun call emak dia di kampung. Saya tanya hal lelaki ni, dan alangkah terperanjatnya saya apa yang dia pernah bagi tau tetang hal dia seperti dia ada rumah sampai 3 biji beli dengan ex-girlfrend dia, pernah pakai kereta satria Gti, dia sakit dada yang kronik. Semuanya dinafikan oleh mak dia. Selepas tu saya tak puas hati call ex-girlfren dia tanya… memanglah pada mulanya saya dimaki dan dia tak layan saya. Tapi saya pujuk dia bagitau hal teman lelaki yang nampak baik di depan tapi tak tau lah perihalnya dibelakang. Umpama pijak semut pun tak mati. Tapi girlfren dia menafikan memang sah dia MENIPU!!!PENIPU!!!! Mengeletar lutut dibuatnya, terperanjat, marah, geram dan macam-macam perasaan lagi… Bukan lah saya gila harta sangat selama ni pun saya ada x-boyfren, dan dia tidak lah begitu senang, nak pergi mana-mana kami lebih selesa jalan kaki. Saya tak pandang harta benda, tapi dia telah bodohkan saya cukup-cukup. Saya ni percaya hidup-hidup, rupanya dia telah mengambil kesempatan menipu saya, bukan itu saja sebelum dia couple ngan saya dia kata dia dah break ngan ex-girlfren dia dah sebulan. Tapi apa yang saya dapat tau dari ex dia saya ni perampas dan diaorang tak break lagi after saya couple ngan dia. Betapa kejamnya lelaki ni… Saya geram, malam tu saya bergegas pergi rumah dia tanya dia satu persatu, dia tetap kata ya dia betul dia tak tipu, siap boleh bersumpah atas nama saya, mak dia. Saya tunggu sampai pagi…pagi saya desak lagi tetap tak mau mengaku saya call ex dia depan muka dia. Ex dia kata mana dia ada semua tu…barulah mengangguk kata ya selama ni semua yang dia bagitau tentang latar belakang dia adalah dusta. Reka cerita. Tapi satu perkara dia tak nak mengaku yang dia break ngan ex dia bulan puasa, dia tetap kata sebelum bercouple ngan saya. Saya geram dia TIPU saya, saya suruh dia tekap tangan dia dengan strika panas biar sampai berkesan sampai tua yang dia ni penipu!!! Lepas tu saya suruh dia hantuk kepala dia kat dinding sampai berdarah, dia buat semua tu…dan untuk pengetahuan kesan strika tu masih ada kat lengan dia. Dia minta maaf dan mengaku salah..Ok saya maafkan..
Saya dapat satu call dari mak yang ayah masuk hospital tenat teruk..saya balik kampug seorang. Sehari sebelum harijadi saya ayah saya pergi meninggalkan saya. Arwah ayah dikebumikan pada harijadi saya, amat pilu. Hari tu lelaki ni pegi kerumah semasa arwah masih ada di rumah sampai dikebumikan. Mak dah cakap kat orang kampung dia bakal menantu masa malam kenduri arwah berlansung. Dia ni kalau di depan orang memang orang memuji baik gila muka dia, perwatakan pun nampak alim dan very d kampung.
Selepas seminggu saya balik KL. Ingatkan dia berubah, masih ada satu lagi penipuan. Saya dapat selongkar satu bilik yang berkunci. Saya syak mesti ada apa-apa kat dalam tu. Dia memang bagi kunci kat saya, sebab dia pernah terover doss ubat tidur sampai missed called 100 kali tak dengar. Jadi untuk keselamatan dia bagi kunci kat saya, saya memang dah lama nak ambil kesempatan nak selongkar rumah dia. Sebab tak percaya lagi kat dia ni. Tak boleh buka kunci tu saya panggil kawan saya potong kunci tu. Tau apa yang saya jumpa kat dalam bilik tu, ya Allah! berlambak nya VCD lucah, majalah lucah dan barang ex dia yang dia kata dia dah buang barang ex dia lama dulu. Terperanjat saya bercarton-carton VCD lucah. Masya’Allah….!!! Saya memang marah lagi. Kali ni saya geram saya nak minta break, ditahan oleh dia. Saya ambil keputusan cerita semua perkara ni kat mak bapak dia perihal anak lelaki diaorang. Memang lah ibu bapa mana yang suka dengar tentang keburukan anak dia.
Pada satu hari tu mak bapak dia datang dari kampung semata-mata nak jumpa saya, tanya saya apa cerita dan apa keputusan saya sebab mak bapak dia nak bawa rombongan meminang tapi kes menipu ni tak habis-habis. Respond dari mereka memanglah tak ok. Ahhh… saya peduli apa, biar mereka tau anak mereka telah merosakkan hati saya.
Lelaki ni berusaha minta maaf dan beria-ia nakkan saya katanya dia tak boleh kehilangan saya cinta teramat sangat pada saya dan menyuruh family dia hantar pertunangan. Dia beria-ia kata tak akan menipu lagi dan nak berubah. Tarikh bertunang telah ditetapkan. Tiba-tiba pada suatu hari si dia ni cakap tak jadi. Dia buat hal lagi. Kami dah declare break. Semua hutang saya tuntut. Dan selepas pada itu saya pun buat hal sendiri tapi memang susah sebab satu tempat kerja hari-hari tegok muka dia.
Dia datang kembali kata mohon maaf dan tak boleh kehilangan saya. Sekarang ni dia kata dia dah banyak berubah dan nak nikah dengan saya. Kursus nikah sudah kami hadiri. Tapi kebelakangan ni dia buat hal lagi. Menipu lagi, saya tak tau sampai bila dia akan begitu.
Masalah saya dia tengah berusaha dapatkan borang dan buat persediaan nikah, baju pun dah tempah. Tapi hati saya seolah-olah berat nak menerima dia. Saya tak mahu perkahwinan saya disulami dengan sifat penipu dia. Saya dah kurang percaya akan dia. Sekarang ni, saya semakin lama semakin fedup dengan perangai dia yang tunjuk ego. Dia kata sekarang ni dia tak menipu lagi. Tapi baru semalam dia menipu saya, saya sebenarnya dah mula naik fedup dengan dia. Saya nak tanya pandangan perlukah saya meneruskan pernikahan ini sebab dah pergi kursus kawin dan tempah baju nikah. Hati saya keliru. Boleh saudara tolong saya menyelesaikan kekusutan dan kekeliruan saya. Umur saya semakin meningkat, kadang-kadang saya terfikir kalau tak kahwin dengan mamat ni siapa nak kahwin dengan saya. Tapi kalau tak bahgia, asyik kena tipu pun tak tahan juga. Apa yang perlu saya lakukan, saya berterus terang memanglah saya pun sayangkannya…Sebab itulah saya selalu maafkan dia dan terima dia kembali sehingga dah ditahap perkahwinan.
Saya nak berterus terang di sini memang tidak ada manusia yang sempurna segalanya didunia ini. Saya pun tidak terkecuali. Saya pernah terlanjur dengan bekas teman lelaki sebelum ni sehingga melahirkan anak luar nikah. Sebab tu lah saya tanpa berfikir panjang terus terima sahaja lamaran dari jejaka penipu ni walaupun saya tau akan makan hati kalau kahwin dengan dia. Tolong saya selesaikan masalah saya yang rumit pada pendapat saya. Perlukah saya meneruskan pernikahan dan kalau menolak bagaimana caranya. Bagaimana nasihat kan si dia supaya dia berubah dan jangan menipu lagi. Saya takut ditipu dan dibodohkan lagi. Bantu saya!!!
Sekian Terima kasih,
Wassalam

JAWAPAN
Bismillahirahmanirahim.
Assalamulaikum wbt semoga diri saudari di dalam rahmat Allah swt.
Kami mengucapkan terima kasih kerana sudi menulis kepada kami. Insyallah marilah kita sama-sama melihat apa yang boleh dilakukan untuk membantu saudari melihat perhubungan saudari ini dan seterusnya berharap agar saudari dapat melihat jalan untuk meleraikan kekusutan ini.
Saudari, panjang saudari bercerita dan dapatlah dibuat kesimpulan bahawa saudari benar-benar di dalam keadaan delima sama ada mahu meneruskan perhubungan dengan simamat (itulah yang saudari panggil) ataupun tidak.
Sama ada saudari ingin memutuskan atau meneruskan perhubungan tersebut marilah kita teliti dahulu beberapa perkara.
Kenyataan 1
Saudari telah berkali-kali ditipu namun kerana kasih dan cinta, saudari masih lagi menerimanya. Dia telah menipu saudari, dia telah menipu ex girlfriendnya, dia menyimpan bercarton-carton gambar lucah dan saudari telah berkali-kali cuba break dengan dia namun akhirnya saudari kembali lagi dan masih lagi memaafkannya. Itulah cinta saudari terhadapnya dan cinta itu memang buta. Saudari tidak boleh tidak, akhirnya akan kembali juga padanya walaupun saudari telah bertekad mahu memutuskan perhubungan akibat janji yang sentiasa yang tidak dapat ditepatinya.
Kenyataan 2
Kini saudari telahpun sama-sama pergi ke kursus perkahwinan dan sudahpun menempah baju nikah dan pada masa yang sama dia masih lagi menipu saudari dan akhirnya saudari membuat keputusan untuk memikirkan kembali sama ada pernikahan ini perlu diteruskan atau tidak. Untuk itu sekali lagi saya ingin bertanya kepada saudari perlukah saudari meneruskan perhubungan ini?
Kenyataan 3
Saudari, pernikahan adalah sebuah ikatan yang suci. Dalam pernikahan di antara suami dan isteri perlu mempunyai sifat-sifat jujur dan perlu ada kerjasama. Pernikahan juga memerlukan saudari dapat menerima mamat dan mamat juga perlu dapat menerima saudari sepenuhnya. Pernikahan memerlukan ikatan yang baik dan dapat melahirkan anak-anak yang baik. Sekiranya saudari masih lagi berjuang untuk menentukan kedudukan sama ada saudari perlu meneruskan atau tidak, saudari masih ragu terhadap pasangan saudari, adakah saudari fikir bahawa perkahwinan ini akan berjaya? Sekiranya ia diteruskan juga apakah perkara yang mungkin akan terjadi?
Adakah perkara-perkara ini akan terjadi?
  1. Mungkin dia berubah dan menjadi baik dan seterusnya menjadi suami yang baik dan penyayang? Untuk ini saudari lebih tahu sama ada perkara ini mungkin boleh berlaku atau tidak?
  2. Dia meneruskan cara hidupnya yang lama. Mungkin dia masih lagi mencari jalan untuk menipu saudari dengan pelbagai cara. Ketika itu mungkin saudari telah mengandung, mungkin saudari berjuang untuk mendapatkan kembali keadilan darinya. Dan dia masih tetap berbohong. Saudari masih lagi menagih janji yang sukar ditepatinya. Apakah kemungkinan ini terjadi? Saudari juga yang tahu jawapannya.
Apa yang saya lihat berlaku di dalam perhubungan ini ialah saudari tidak mahu bakal suami saudari berbohong tetapi pada masa yang sama itulah yang dilakukannya. Dan pada masa yang sama juga saudari tidak mahu lagi bersama dengannya tetapi pada masa yang sama saudari berbalik untuk menerimanya. Adakah saudari fikir putaran ini akan berhenti? Dan adakah saudari fikir perkara ini dapat dihentikan? Ada beberapa persoalan yang perlu saudari jawab.
  1. Adakah bakal suami saudari itu benar-benar tidak mahu mengulangi perbuatannya itu? Adakah dia benar-benar menyayangi saudari?
  2. Sekiranya dia benar-benar berjanji tidak mahu mengulanginya apakah tindakan saudari jika dia mengulanginya kembali?
  3. Adakah saudari merasakan bahawa saudari juga tidak pernah mungkir janji?
  4. Mengapakah apabila saudari berjanji untuk tidak mahu meneruskan perhubungan ini sekiranya simamat mengulangi perbuatannya, maka saudari menerimanya kembali? Tidakkah ini bermakna saudari juga tidak mampu mengotakan apa yang saudari janjikan?
Apa yang saya lihat antara saudari dan simamat ni, ada beberapa perkara yang perlu difikirkan. Saudari perlu membuat beberapa langkah yang saudari fikir sesuai untuk saudari lakukan. Mungkin di antaranya saudari boleh memikirkan;
Tindakan 1
Berjanji pada diri untuk tidak mengkhianati janji saudari sendiri.
Contoh: Simamat berjanji untuk tidak berbohong lagi. Maka saudaripun meletakkan syarat sekiranya dia membohongi saudari lagi maka saudari akan putuskan perhubungan dengannya. Dalam hal ini saudari perlu mengambil risiko akan kehilangannya, sekiranya tidak maka usaha ini akan menjadi sia-sia dan perkara buruk itu pasti akan berulang kembali. Sekiranya saudari tidak mahu mengambil risiko, maka saudari tidak perlu berjanji apa-apa. Lebih mudah jika saudari katakan begini” kalau simamat berbohong lagi, saya akan terima sahaja, kerana saya tidak sanggup akan kehilangannya.”
Jadi dalam hal ini saudari hanya mempunyai dua pilihan;
  1. simamat berjanji, jika tidak, hubungan putus. (risikonya, mamat akan hilang, mungkin jiwa saudari merana)
  2. simamat berjanji, jika tidak, hubungan masih diteruskan ( risikonya, mamat tidak akan hilang, tetapi jiwa dan hati masih lagi merana.)
Maka kesimpulannya kedua-dua tindakan di atas adalah merupakan tindakan yang sia-sia walaupun beribu kali mamat berbuat janji kerana hasilnya masih memberikan jiwa saudari merana.
Tindakan 2
Bantu dan bimbing simamat agar dia dapat merubah dirinya kepada yang lebih positif.
Sebelum perkara ini saudari lakukan, saudari perlu terlebih dahulu membimbing diri saudari ke arah hidup yang lebih bermakna. Saudari mesti mahu hidup bahagia dan selesa. Orang yang berpengalaman pernah berkata kebahagiaan dan ketenangan terletak di dalam hati seseorang. Untuk melembutkan hati manusia mesti ada sesuatu yang diyakini. Mesti ada sesuatu prinsip yang harus dipegang. Ada orang mengatakan wang dapat membahagiakan. Adakah ini benar? Saudari boleh menjawabnya sendiri. Ada orang mengatakan rumah besar dapat membahagiakan, adakah itu benar, nah sekali lagi saudari boleh menjawabnya. Ada orang mengatakan agama dapat memberikan ketenangan, adakah itu benar? Saudari juga mesti boleh menjawabnya. Kalau saya salah tolong betulkan saya jika saya kata setiap manusia mesti ada pegangan agama masing-masing. Untuk hidup tenang seseorang perlulah berpegang kepada ajaran agamanya dan saya percaya saudari juga ada agama untuk dipegang dan ada Tuhan untuk disembah.
Cuba lihat aspek ini untuk membetulkan diri sebelum saudari dapat membetulkan orang lain. Tidak ada masalah yang tidak dapat diselesaikan dan tidak ada kusut yang tidak dapat dileraikan. Hati manusia yang keras ini akan menjadi lembut apabila menyedari bahawa suatu hari nanti kita akan menghadap Tuhan untuk dipersembahkan semua amalan sama ada baik ataupun buruk. Tidak ada dosa yang tidak diampunkan, Allah itu Pengasih dan Penyayang. Mungkin dengan cara ini saudari dapat melembutkan Mamat. Tapi ingat, lakukan ini untuk diri saudari dahulu, biarlah saudari sendiri yang mendapat merasakan ketenangannya, mungkin dengan perubahan ini akan dapat merubah siMamat. Agama kita banyak memperkatakan tentang dosa orang yang suka berdusta, dosa orang yang mungkir janji, dosa orang yang sombong dan seumpamanya. Saya percaya, jika saudari percaya kepada apa yang disampaikan oleh Rasul kita nabi Muhammad saw maka hidup saudari akan lebih terpimpin, ada panduan, tenang dan aman. SiMamatpun akan tahu hukuman yang akan diterimanya didunia ini dan juga hukuman yang diterimanya di akhirat kelak. Sekiranya saudari sayangkan Mamat sehingga tidak boleh berpisah dengannya maka sayangilah dirinya itu sehingga keakhir hayat sehingga menjangkau ke akhirat. Untuk menunjukkan rasa kasih dan sayang kepada mamat, perlulah saudari membimbingnya dan membantunya untuk berubah. Membantu seseorang untuk berubah bukanlah semudah yang disangka dan semudah yang dikata. Kita tidak sekadar menyuruh tetapi perlu kita tunjukkan perubahan itu dahulu berlaku di dalam diri kita. Bagaimana kita nak mengubah orang jika kita tidak mampu merubah diri kita. Saudari juga pernah kata bahawa saudari juga pernah melakukan kesilapan dan saya juga percaya bahawa saudari memerlukan orang memaafkan diri saudari dan saudari juga memerlukan masa untuk berubah. Begitulah diri Mamat.
Tindakan 3
Bertenang terhadap situasi yang berlaku.
Buatlah satu tindakan, yang menguntungkan, mungkin begini;
Contoh Situasi A
Terjumpa video lucah di dalam laci Mamat.
Cara saudari membantu:
Dalam keadaan tenang dan di dalam suasana yang tidak tertekan saudari akan bertanyakan perihal video kepada Mamat. Katakan “Saya tahu Mamat akan marah jika saya menyerang. Saya tahu Mamat akan berbohong sekiranya dia ditekan.
Oleh itu saya akan wujudkan satu keadaan suasana yang damai agar Mamat selesa dengan pertanyaan saya. Dengan ini saya yakin Mamat tidak berbohong lagi kerana tidak ada benda yang perlu ditakutkan lagi. Segala-galanya terbuka kepada perbincangan untuk diselesaikan semua masalah dan perkara. Saya akan memberitahu mamat bahawa saya lebih suka sekiranya mamat tidak menyimpan video itu lagi. Saya juga akan memberitahunya bahawa saya sangat sayangkannya sebab itulah saya tidak mahu dia menyimpan video-video tersebut.”
Contoh Situasi B
Ternampak, Mamat sudah ada teman wanita yang lain.
Cara saudari membantu:
Dalam suasana tenang dan tidak tertekan saya akan bertanya kepada mamat perihal teman wanita barunya secara berdepan dengan tidak ada perasaan marah. Saya akan bertanya kepadanya tentang apakah kekurangan yang ada pada diri saya maka dia memilih orang lain setelah sekian lama kita berkawan. Saya akan meminta penjelasan darinya apakah maknanya persahabatan kita selama ini. Saya akan memujuknya untuk kembali kepada saya kerana saya masih memerlukannya dan saya juga percaya dia juga memerlukan saya. Saya juga percaya bahawa persahabatan dengan wanita lain ini adalah disebabkan mungkin kesilapan yang telah saya lakukan tanpa saya sedari. Mungkin juga Mamat tersilap membuat pertimbangan maka dia terus leka dengan pujuk rayu wanita itu. Walaubagaimanapun saya akan cuba berusaha untuk memenangi kembali mamat untuk terus bersama saya. Dan saya yakin saya dapat melakukannya melalui tutur kata yang lembut dan sopan. Oleh kerana saya sayang dan hormati mamat maka saya akan berusaha sedaya upaya untuk memenangi hatinya kembali.
Saudari,
Manusia termasuk saudari perlu dilayan dengan baik. Setiap manusia inginkan belaian, penghargaan dan kasih sayang. Tetapi tidak ramai orang yang dapat menyampaikan perasaan tersebut dengan betul.
Mengapa manusia sering berbohong? Mereka berbohong kerana mereka takut untuk bercakap benar. Mengapa takut untuk bercakap benar? Kalau bercakap benar mereka akan diserang, mereka akan dimarah, mereka akan dicerca, akan dihina. Bercakap bohong akan dapat menyembunyikan semua itu. Orang tak tahu, diri akan rasa selamat, diri tidak akan dimarah, dicerca dan dihina. Hasilnya bercakap bohong lebih baik dan lebih selamat dari bercakap benar.
Sebagai kesimpulannya, saudari perlu memberi masa untuk saudari berubah dan Si Mamat berubah. Untuk merubah batu menjadi bangunan adalah kerja yang mudah tetapi untuk merubah sekeping hati manusia ia memerlukan ketekunan, keyakinan dan yang paling penting kesabaran. Tanpanya manusia tidak akan berubah malah akan sesat lebih jauh.
Alhamdulillah hasrat saudari untuk berkahwin adalah murni. Mudah-mudahan Allah akan memberikan ketenangan dan keyakinan untuk meneruskan hasrat itu dengan licin dan lancar. Mudah-mudahan saudari dapat memikirkan jalan dan usaha terbaik untuk merubah diri, untuk merubah mamat dan seterusnya dapat mengecapi nikamt hidup bekeluarga. Mudah-mudahan saudari akan mendapat menimang cahayamata yang soleh yang akan membahagiakan saudari suami isteri di dunia dan di akhirat.
Kami berdoa agar saudari hidup bahagia apabila hidup bekeluarga kelak sama ada dengan mamat ataupun orang lain.
Wasallam.

contoh sesi kaunseling yang dijalankan dalam kaunseling maya (Dr. Ramlan Hamzah)

No comments:

Post a Comment