Thursday, April 19, 2012

Berpoya dengan Bakal Adik Ipar

Saya sudah pun bertunang dan bakal mendirikan rumahtangga dalam masa terdekat. Masalah yang saya hadapi ialah bagaimana saya akan berdepan dengan keluarga mertua saya kelak?
Ceritanya.. Dahulu sewaktu di alam bercinta dan awal alam pertunangan, saya sangat rapat dengan bakal adik tunang saya yang baru berumur 20 tahun serta ibunya. Saya juga selalu membawa adiknya keluar bersiar² bersama kami (saya & tunang) dan berjumpa dengan kawan² kami. Saya tiada adik perempuan jadi saya sudah menganggap dia macam adik saya sendiri.. Malangnya akibat daripada perbuatan saya membawa dia keluar dan berkenalan dengan kawan² kami rupa²nya dia ada menjalin hubungan cinta dan seks dengan salah seorang teman baik kami yang baru saja mendirikan rumahtangga. Saya sudah mengesyaki perbuatan ini kerana mereka kerap berjelingan mata bila kami duduk berkumpul ramai². Hinggalah saya terjumpa sms di hp kawan kami! Saya cuba memberitahu tunang saya mengenai perbuatan adiknya tetapi setiap kali bukti sms itu nak saya tunjukkan, sms itu mesti dah terpadam di dalam hp. Tuhan itu maha adil, tunang saya dapat jerat mereka! Teruk dia belasah adik perempuan dia, malah kawan kami pun diberi amaran.. tapi yang saya sedihnya.. mak mertua saya (seorang yang bergelar Hajjah) tahu hal ini tapi dia tidak menegah pun perbuatan anak perempuannya itu malah saya dikatakan ‘kaki sibuk’. Salahkan saya?. Saya tahu kawan kami tu anak orang yang terlalu berada. Adik tunang saya puas disaluti kemewahan. Isterinya saya kenal, malah menangis² minta kami tolong selamatkan rumahtangganya yang baru 2 bulan (waktu mula pecah tembelang). Kami dah cuba sedaya upaya kami, baik pada adik tunang saya dan kawan kami. Tapi, apa daya kami kalau mereka masih lagi berhubung! Hingga sekarang saya tak tahu? Kami sudah bosan untuk masuk campur! Tunang saya sudah pun mengeluarkan kenyataan pahitnya yang dia tiada adik perempuan lain kecuali yang masih belajar di UiTM (22 tahun) sahaja.
Ibu bapa kedua belah pihak (tunang saya + kawan kami) sudah berjumpa dan masing² dengan keputusan yang mereka tak setuju.. Saya kesiankan isterinya, kerana isterinya pernah beberapa kali dengan cubaan membunuh diri! Tapi mereka masih berdegil! Isterinya terlalu lembut untuk bertegas, malah dia tidak minta cerai kerana dia terlalu sayangkan suaminya.
Tolonglah saya, bagaimana harus saya tempuhi hidup akan datang dengan bakal keluarga mertua terutamanya bakal adik ipar saya.

Jawapan
Bismillahirahmanirahim
Salamualaikum wbt.
Semoga diri saudari sekeluarga di dalam rahmat Allah.
Terima kasih kerana sudi berkongsi pengalaman dengan kami. Semoga pengalaman yang pahit yang saudari alamai itu dapat kita tangani bersama.
Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada saudari kerana saudari masih dapat melihat dan menilai baik dan buruk yang dilakukan oleh seseorang. Mengikut pengalaman yang saudari luahkan itu sudah cukuplah saya dapat merasakan keinginan dan kesungguhan saudari untuk mengubah sikap dan perangai buruk bakal adik ipar saudari itu. Malah saudari juga nampaknya bersungguh-sungguh untuk membantu keluarga malang yang suaminya tidak sedar diri, membuat perhubungan sulit dengan bakal adik ipar saudari. Namun apakan daya usaha saudari dengan tunang saudari hanya setakat itu. Yang lain itu terpulang kepada kerakusan nafsu buas manusia untuk mengubahnya. Kalau ada kesedaran di dalam diri bakal adik ipar atau teman lelakinya itu, mungkin mereka akan berubah. Tetapi untuk mengubah hati manusia itu bukannya mudah. Allah sendiri tidak akan mahu mengubahnya kecuali diri orang itu sendiri.
Sebab itulah Allah melarang hambanya daripada menghampiri segala perbuatan yang keji dan mungkar. Kerana apabila ia terlekat, maka amat sukar untuk mengikisnya. Mungkin ini satu pengajaran yang berguna kepada saudari dan tunang saudari agar jangan mudah mempercayai seseorang dengan memperkenalkan seseorang itu dengan orang yang lain. Walaupun dosa mereka tidak saudari tanggung tetapi impak psikologi rasa bersalah dalam diri itu akan membuatkan saudari rasa kecewa dan resah.
Saudari,
Berdasarkan cerita saudari tadi, apakan daya, saudari telahpun melakukan yang terbaik untuk membetulkan keadaan. Dan saya kira saudari tidak akan mudah berputus asa untuk memperbaiki keadaan diri bakal adik ipar saudari yang telah terlanjur itu. Perasaan sedih saudari terhadap bakal ibu mertua yang tidak menghiraukan perbuatan salah anaknya itu tidak akan dapat membantu saudari menjernihkan keadaan. Mereka dapat menerima keadaan itu kerana latarbelakang mereka memang begitu seperti apa yang saudari telah nyatakan. Mustahil untuk saudari putarkan jarum jam ke arah belakang agar bakal ibu mertua saudari mendapat didikan yang lebih sempurna dari segi agama. Dalam hal ini tidak banyak yang dapat saudari lakukan, kecuali apa yang saudari telah lakukan setakat ini.
Menolak kewujudan adik seperti yang dilakukan oleh tunang saudari, adakah ia dapat membantu keadaan? Apakah rasionalnya tunang saudari tidak mengaku adiknya itu sebagai adik. Bukankah lebih baik memberi nasihat sewaktu dia masih lagi di dalam kawalan berbanding dari menasihatinya selepas dia tidak lagi di dalam kawalan? Mungkin tunang saudari ada jawapan yang lain. Bagi saya, (kalau saya silap betulkan saya) membuangnya begitu sahaja bermakna tunang saudari telah melepaskan tali ikatan dan tali kawalan itu 100%. Apabila tali ikatan telah dibuang apalagi yang dapat dibantu. Perkara ini seperti, marahkan nyamuk, kelambu jangan dibakar. Hati manusia ini berbolak-balik. Ada masanya dia akan tersedar, ada masanya dia akan hanyut. Kita tidak tahu bilakah masanya ia akan tersedar. Apabila kesedaran ini berlaku peluang untuk menariknya kembali adalah cerah. Jangan sia-siakan peluang ini. Pepatah orang tua-tua ada menyatakan bencilah orang itu kerana perangainya, jangan bencikan orang itu kerana tubuh badannya.
Tentang isteri teman saudari itu, apakah yang saudari dapat lakukan selain dari memberi peransang kepadanya agar dia bersabar dan tabah menghadapi kenyataan ini. Saudari telah melakukan perkara yang terbaik apabila saudari sudi mendengar masalah yang dilaluinya kini. Dapatkah saudari mengubah segalanya? Jika tidak, apa yang saudari lakukan ini telah memadai. Sukar untuk saudari mengubah semuanya dan ia bukanlah merupakan tanggungjawab saudari 100%. Ia adalah merupakan tanggungjawab adik ipar saudari dan juga tanggungjawab teman lelakinya untuk berubah. Jika mereka tidak mahu berubah, bagaimana mungkin saudari dapat mengubahnya? Mungkin saudari akan dapat membantu sekiranya ada tanda-tanda mereka akan berubah. Mungkin saudari dapat melihat kekesalan yang ada pada mereka, masalah yang mereka akan alami dan seumpamnya. Inilah peluang yang terbaik saudari dapat membantunya. Sebab itulah hubungan dengan mereka ini (kalau bolah) jangan diputuskan. Penuhkan dada dengan harapan untuk tidak berputus asa untuk membantunya. Panjatkan doa dan pengharapan kepada Allah SWT untuk memberi kesedaran kepadanya. Perkara ini telah diajar oleh Rasulullah SAW kepada kita. Doa buka untuk kita sahaja, tetapi boleh juga berdoa untuk kesejahteraan orang lain. Walaupun Allah tidak akan mengubah hati manusia yang tidak mahu berubah, namun Allah itu Maha Mendengar dan Maha Memperkenankan kepada hamba-hambanya yang berdoa kepadanya. Jangan sekali-kali mengharapkan 100% kepada doa, usaha yang saudari dan tunang saudari lakukan itulah yang terbaik di sisi Allah SWT.
Sekian terima kasih

contoh sesi kaunseling yang dijalankan dalam kaunseling maya (Dr. Ramlan Hamzah)

No comments:

Post a Comment