Thursday, April 19, 2012

Dilema Jatuh Cinta Suami Orang

Saya sedang mengalami satu masalah mengenai memilih jodoh. Saya adalah seorang wanita yang berumur 34 dan belum bernikah. Sepanjang hayat saya, saya belum temui jejaka yang saya ingin nikahi sehinggalah saya bertemu seorang jejaka di sebuah majlis.
Pada pandang pertama, saya tidak mempunyai apa-apa perasaan terhadapnya kerana penampilannya yang sederhana dan orangnya pun telah berusia sedikit. Saya hanya mula tertarik kepadanya apabila terdengar alunan suaranya semasa membaca Al-Quran dan saya tidak dapat lupakan dia hampir setahun selepas pertemuan pertama. Kami menjaga kehormatan diri sendiri dan tidak pernah menukar nombor talipon atau alamat emel untuk berinteraksi. Tetapi saya setia dengan menghadiri majlis yang dia pimpini setiap minggu. Kami hanya benarkan pandangan kepada satu sama lain dari jauh sahaja.

Saya sudah pasti bahawa dia tahu saya suka padanya. Dan dia pula telah menunjukkan kesukaan dia kepada saya menerusi ‘body language’. Tapi ada satu perkara yang menghampakan saya iaitu saya dapat tahu bahawa dia sudah beristeri. Di negeri saya, poligami tidak diterima dengan sepenuh hati oleh masyarakat Melayu Islam. Pendeknya, wanita yang jadi isteri kedua itu dipulaukan dan digelar sebagai ‘perampas suami orang’. Tambahan pula saya juga belum pasti saya ini rela menjadi isteri kedua jika jejaka itu redha.

Saya bimbang kerana saya, rumahtangganya nanti jadi porak-peranda. Saya sangat segan jika saya adalah unsur peruntuhan sebuah rumahtangga orang lain atau suami seseorang terindui dengan saya sehingga dia mengabaikan tanggungjawabnya terhadap isteri dan keluarganya.
Saya adalah seseorang wanita yang cerewet dalam permilihan untuk segala aspek kehidupan saya. Dalam soal permilihan guru, rakan dan kerjaya umpamanya, sama rumit kecerewetan saya. Sebab itu apabila saya ketemui yang saya sangat rasa sesuai bagi naluri saya, mereka itu adalah pilihan yang baik bagi saya. Ini lah masalah yang saya hadapi sekarang dengan jejaka ini.
Saya ada ramai ‘peminat’ tetapi tiada seorang pun yang berjaya menambat hati saya untuk berumahtangga kecuali jejaka ini. Apabila saya cuba untuk melupakannya atau ‘menutup hati saya baginya’, saya dapati keinginan saya untuk berumahtangga turut pupus.
Apa yang saya harus buat?


Jawapan
Salam Saudari,
Terima kasih kerana menulis kepada kami. Insyallah saya sebagai kaunselor dan pembimbing anda akan cuba bersama-sama memikirkan bagaimana kerumitan ini boleh ditangani. Marilah kita sama-sama melihat isu yang anda bawa untuk dibincangkan bersama.
Pertama, anda belum pernah menemui seorang jejaka yang betul-betul dapat menambat hati anda sehinggalah kepada suatu saat di mana anda memang berminat kepada seorang ini. Anda berminat kerana anda tertarik kepada alunan suara bacaan Quran jejaka ini. Sehinggakan anda tidak dapat melupakanya hampir setahun dari pertemuan pertama anda. Anda juga sentiasa mengikuti majlis yang dianjurkan atau yang diketuai olehnya. Anda juga merasakan bahawa dia juga menaruh minat kepada anda melalui bahasa tanpa lisan (non verbal language) yang ditunjukkan kepada anda.
Namun ada beberapa perkara yang membuatkan anda rungsing dan resah. Perkara tersebut ialah;
  1. Pemuda ini telah beristeri. Pada pandangan anda, di negeri anda “poligami” tidak diterima “sepenuh hati” oleh masyarakat Melayu Islam. Contohnya yang anda beri ialah sekiranya berlaku juga poligami maka isteri kedua akan dipulaukan dan dianggap sebagai perampas suami orang.
  2. Kedua, anda tidak pasti sama ada anda rela menjadi isteri yang kedua.
  3. Ketiga, anda juga takut dianggap sebagai punca keruntuhan rumahtangga orang lain dan takut pemuda itu mengabaikan tanggungjawab keluarganya kerana anda.
  4. Keempat, anda merasakan bahawa anda cukup cerewet dalam banyak aspek kehidupan dan sekiranya anda cuba melupakan pemuda ini maka keinginan anda juga turut akan hilang.
Mari kita sama-sama menganalisa kerungsingan ini satu persatu dan cuba membuka fikiran dan perasaan terhadap isu yang anda bawa.
Isu Pertama,
Pada pandangan anda, di negeri anda “poligami” tidak diterima “sepenuh hati” oleh masyarakat Melayu Islam. Contohnya yang anda beri ialah sekiranya berlaku juga poligami maka isteri kedua akan dipulaukan dan dianggap sebagai perampas suami orang.
Terpulang kepada anda untuk membuat keputusan sama ada anda ingin menerima isu poligami ini sebagai “perampas suami orang” atau “dipulaukan oleh masyarakat kampung”. Perkara pokok di sini ialah pada hakikatnya poligami tidak salah dari segi hukum agama. Allah tidak pernah melarang dan perbuatan tersebut merupakan sunah nabi Muhammad saw. Jika anda ingin memuaskan hati semua orang maka anda tidak akan mampu untuk melaksanakannya. Sampai masanya anda perlu memikirkan keinginan dan keperluan diri anda dengan syarat tidak melanggar syariat Allah swt.

Berpoligami bermakna anda perlu memahami situasi, isu dan masalah yang akan timbul. Jika anda sanggup berkorban apa sahaja demi cinta anda kepadanya maka anda akan menjadi seorang yang kuat dan tabah menghadapi segala cabaran dan rintangan.


Isu Kedua, anda tidak pasti sama ada anda rela menjadi isteri yang kedua.
Perkara ini perlu anda pertimbangkan masak-masak. Ini adalah kunci kepada anda sama ada anda ingin meneruskan niat berpoligami ataupun tidak. Jika anda tidak pasti bermakna anda tidak yakin, jika anda tidak yakin maka banyak masalah lain akan timbul. Jadi saya syorkan anda buat keputusan betul-betul sama ada anda telah bersedia untuk berpoligami ataupun belum. Anda perlu melihat keperluan dan keinginan diri anda sendiri. Anda perlu berani menghadapi cabaran yang pelbagai ekoran dari keputusan untuk berpoligami. Adakah cinta anda terhadapnya dapat mengatasi masalah dan cabaran yang anda hadapi? Adakah anda ingin berkorban perasaan, tenaga, harapan dan seumpamanya. Berpoligami bermakna anda perlu memahami situasi, isu dan masalah yang akan timbul. Jika anda sanggup berkorban apa sahaja demi cinta anda kepadanya maka anda akan menjadi seorang yang kuat dan tabah menghadapi segala cabaran dan rintangan.
Isu Ketiga, anda juga takut dianggap sebagai punca keruntuhan rumahtangga orang lain dan takut pemuda itu mengabaikan tanggungjawab keluarganya kerana anda.
Soal keruntuhan rumah tangga disebabkan oleh banyak faktor. Ia tidak semestinya berpunca kepada satu faktor sahaja. Jadi adalah tidak adil dan tidak munasabah jika keruntuhan rumahtangganya disebabkan oleh anda sahaja. Anggapan masyarakat tidak seorangpun akan dapat menghalangnya. Semua orang boleh membuat andaian sama ada andaian yang salah atau betul. Maka jika masyarakat buat andaian bahawa anda merupakan punca keruntuhan rumahtangga orang lain, maka itu hanyalah merupakan andaian. Ia tidak semestinya betul, kerana anda sahaja yang memahami situasi yang sebenar. Anda tidak akan dapat menerangkan segalanya yang berlaku kepada masyarakat. Contohnya Nabi yang menyampaikan kebenaran Al-Quran kepada masyarakatnya pun ditolak oleh kaumnya sendiri. Dari aspek penggabaian tanggungjawab terhadap rumahtangganya itu juga merupakan bukan tanggungjawab anda. Seorang pemuda yang baik dan bertanggungjawab akan tetap menjalankan tanggungjawab terhadap keluarga walaupun dirinya sendiri menghadapi krisis dan delima. Pengabaian tanggungjawab dan sikap yang baik adalah dua perkara yang berbeza. Jika dia seorang yang baik, mana mungkin dia akan mengabaikan tanggungjawabnya terhadap keluarga. Jika dia mengabaikan, maka itu sangat berkaitan dengan sikapnya. Tidak ada kena mengena dengan anda.
Isu Keempat, anda merasakan bahawa anda cukup cerewet dalam banyak aspek kehidupan dan sekiranya anda cuba melupakan pemuda ini maka keinginan anda untuk berumahtangga juga turut akan hilang.
Sikap cerewet pada suatu segi amat baik kerana anda akan dapat yang terbaik mengikut penilaian anda. Tapi adakalanya sifat cerewet juga boleh merugikan jika peluang yang ada anda sempitkan. Terpulang kepada anda sama ada anda mampu untuk melupakan pemuda ini ataupun tidak. Jika anda melupakan pemuda ini maka anda akan terpaksa menunggu peluang yang lain untuk menjelma dalam diri anda. Masalahnya anda sendiri juga tidak pasti bilakah peluang itu akan muncul, tetapi yang pastinya anda sangat cerewet dalam hal ini. Jika anda menerima pemuda ini maka anda perlu berkorban dan perlu menerima banyak syarat-syarat yang mungkin anda rasa tidak selesa. Dalam hal ini, anda perlu memikirkan dan mempertimbangkan yang terbaik apakah tindakan yang anda perlu lakukan demi tuntutan keinginan dan keperluan anda tanpa melanggar syariat Allah. Semoga pilihan dan tindakan anda nanti akan mendapat keridhaan Allah swt. Fikirkanlah yang terbaik untuk anda kerana Allah, maka anda akan tenang di dalam membuat keputusan itu nanti. Sesungguhnya kita hanya boleh merancang, Allahlah yang menentukan segala-galanya.
Sekian terima kasih.

contoh sesi kaunseling yang dijalankan dalam kaunseling maya (Dr. Ramlan Hamzah)

No comments:

Post a Comment